Pada suatu hari, Luqman al-Hakim dan anaknya pergi ke pasar di mana Luqman ingin memperlihatkan kepada puteranya perbandingan antara pandangan manusia dan pandangan Tuhan. Luqman dan anaknya membawa seekor keldai. Luqman naik ke atas keldai memandunya, sedangkan puteranya berjalan kaki mengiringi keldai tersebut. Sewaktu manusia melihat keadaan tersebut, maka mereka berkata,
"Inilah orang tua yang tidak kasihan kepada anaknya. Dia bersenangan di atas keldai, sedangkan anaknya berjalan kaki."
Maka Luqman menaikkan anaknya duduk di atas keldai bersama-sama dengannya. Luqman di depan anaknya di belakang. Tidak lama kemudian dilihat oleh manusia yang lain, mereka berkata,
"Wah! Dua orang di atas keldai. Kenapa tidak dinaiki tiga orang sekaligus? (Supaya keldai cepat mati)."
Luqman pun turun dari keldai dan anaknya sajalah yang berada di atas keldai itu. Tidak lama kemudian manusia yang lain berkata pula,
"Wah! Orang tua berjalan kaki dan puteranya memandu keldai."
Mendengar itu anaknya turun dari keldai berjalan kaki beserta orang tuanya. Dilihat lagi oleh manusia, mereka yang melihatnya berkata,
"Keldainya kosong tidak dikenderai, dan aneh! Kedua orang ini hanya berjalan kaki saja mengiringi keldai!"
Iktibar daripada kejadian tersebut, Luqman secara langsung telah mengajar anaknya bahawa demikianlah keadaannya apabila kita lebih mengutamakan makhluk dan terpengaruh dengan makhluk. Ia tidak dapat memberi faedah kepada kita.
Kisah teladan ini juga telah menunjukkan bahawa orang lain tidak akan pernah puas dengan apa yang kita lakukan. Sesungguhnya, hubungan yang paling menenangkan jiwa seorang hamba ialah hubungannya dengan Allah. Lakukan sesuatu kerana Allah, bukan kerana makhluk Allah. Utamakanlah pandangan Allah dalam setiap pekerjaanmu, nescaya Allah akan mengutamakanmu.
Sekadar peringatan buat diri sendiri. Wallahualam.
a very good post =)
ReplyDeleteAlhamdulillah.. Thanks =)
ReplyDelete