Salam Maal Hijrah 1432! Saya rasa tidak terlalu lambat untuk saya ucapkan selamat tahun baru Islam. Alhamdulillah, masih diberi peluang oleh Allah untuk terus bernafas di atas bumi-Nya dan mencecah ke tahun baru ini.
Apakah erti hijrah sebenarnya? Dipetik daripada akhbar Berita Harian, hijrah menurut pengertian umum ialah meninggalkan larangan Allah dan melaksanakan perintah-Nya. Bagaimanapun, dalam pengertian yang lebih luas, ia membawa maksud keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil.
Sempena tahun baru, saya pasti setiap daripada kita tentu mempunyai azam baru. Tapi, cuba kita semak kembali azam kita pada tahun lepas. Sudahkah kita berjaya tunaikan kesemuanya? Jika ada yang masih tertinggal, cuba masukkan semula azam tersebut untuk tahun ini dan berusahalah untuk mencapainya. Jangan berputus asa. Teruskan dengan usaha dan doa kerana selagi kita masih diberi nafas oleh Allah, selagi itulah peluang itu masih ada.
Setiap orang boleh berubah. Maal Hijrah dapat dijadikan titik tolak untuk perubahan positif kita. Jahat hari ini tidak semestinya jahat selamanya. Dan baik hari ini pun belum tentu akan baik sampai ke mati. Kita tidak tahu apa nasib kita pada masa depan. Sebab itu, kita perlu sentiasa memohon kepada Allah agar terus diberi petunjuk dan bimbingan oleh-Nya. Kita perlu sentiasa bermuhasabah dan diperingatkan selalu, kerana fitrah manusia itu sendiri mudah lupa. Manusia; berasal daripada perkataan nasiya yang bermaksud lupa.
Apa azam baru saya pada tahun ini? Hehe, biarlah rahsia.. Apapun, saya mengharapkan yang terbaik daripada-Nya. Ameen...
No comments:
Post a Comment