Popular Posts

Sunday, December 26, 2010

Didikan Terus

Assalamualaikum…

Maaf, entri kali ini hanya luahan perasaan semata-mata. Entah mengapa, minda ini begitu berat sekali untuk menjana sebarang idea jika kepala berselirat dengan pelbagai persoalan.

Hari ini sejurus menerima satu panggilan telefon, tercetus lagi soalan yang sama: selepas ini apa pula ya? Tugas atau amanah apa pula yang harus dipikul? Adakah aku masih mampu untuk melalui semua itu? Ya, memang mudah untuk berkata-kata. Tapi mampukah untuk melakukannya?

Jika dipandang dengan nafsu, sudah tentu hati ini mudah sahaja mengusulkan pemikiran yang sempit dan negatif. Namun, jika dilihat dengan akal fikiran maka dengan mudahnya hati dapat mencerna makna bagi setiap dugaan atau musibah yang melanda.

Apakah erti setiap kejadian(baik atau buruk) yang berlaku pada seseorang? Adakah Allah memberinya sekadar suka-suka kepada kita? Sudah tentu tidak. Apa yang berlaku merupakan mehnah (ujian) daripada Allah. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud,

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (begitu sahaja setelah mereka) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

(al-Ankabut: 2)

Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah menimpakan cubaan kepada hamba-Nya dengan tujuan untuk menguji iman seseorang itu. Sama ada baik atau buruk, setiap perkara yang terjadi pasti mempunyai hikmah yang tersendiri yang kadangkala tidak tersingkap oleh akal manusia yang cetek. Jadi, bersedialah untuk menerima ujian tersebut dan mencari hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Baik atau buruk bukanlah ukuran, tetapi bagaimana kita melaluinya dan mengutip ibrah yang ingin disampaikan Allah menerusi ujian tersebut.

Sebagai contoh, kita dipertemukan Allah dengan orang yang baik sebagai pedoman buat kita agar perlakuan baik orang tersebut dapat dijadikan teladan. Lalu, bagaimana pula jika kita dipertemukan dengan orang yang tidak disenangi? Apa yang kita dapat daripada orang tersebut? Percayalah, setiap kejadian Allah itu tidak sia-sia. Kita ditakdirkan untuk berjumpa dengan orang tersebut supaya kita dapat belajar daripadanya. Belajar untuk tidak meniru perbuatannya dan juga tidak melakukan perbuatan yang kita tidak sukai itu kepada orang lain. Orang tersebut dapat menjadikan kita sentiasa beringat dan bermuhasabah diri. Allah mendidik kita dengan setiap cubaan yang Dia berikan ke atas kita. Sedar atau tidak, kita sebenarnya sedang dididik secara langsung daripada Allah melalui ciptaan-Nya yang agung. Jadi, bersyukurlah - kerana Allah masih ingatkan kita sebagai hamba-Nya dan mendidik kita agar tidak terus alpa dan hanyut dengan arus dunia!

Subhanallah. Betapa besarnya kasih sayang Allah buat kita. Dia mendidik kita dengan setiap kejadian di sekeliling kita. Tidak kisah siapa guru kita – orang tua, kanak-kanak, mahupun alam. Terpulang pada kita untuk menilai dan mencari ‘permata’ di sebalik setiap peristiwa. Terima kasih Allah.

2 comments:

Matematik dan Al-Quran

Assalamualaikum. Sebelum ni saya ada kongsikan tentang pecahan dan mengaitkannya dengan al-Quran dalam post Fractions in Daily Life  ....