----------------------------------------------------------
Senyum sering dikaitkan dengan kebahagiaan dan kegembiraan. Senyum diibaratkan sebagai jambatan untuk menyambung silaturrahim kerana senyuman itu lambang cinta dan kasih sayang, lahir daripada hati seseorang. Selain itu, senyum juga ialah lambang kekuatan dan tanda keredhaan seseorang dalam menempuh kehidupannya.
Rasulullah s.a.w sentiasa menggalakkan seseorang Muslim menemui saudaranya dengan wajah yang ceria. Baginda bersabda, “Janganlah engkau sekali-kali meremehkan suatu kebaikan, walaupun itu hanya sekadar untuk menemui saudaramu dengan wajah ceria” (HR. Muslim).
Senyuman merupakan kunci untuk segala kebaikan dan penutup bagi segala kejahatan. Kita tidak memerlukan wang walaupun sesen untuk sebuah senyuman. Bahkan, sekuntum senyuman yang hadir apabila bertemu saudara Muslim dikira sebagai sedekah.
Rasulullah saw. bersabda, “Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah sedekah” (HR. Tirmidzi).
Pengkaji dan pengamal barat percaya bahawa memulakan hari dengan senyuman berupaya untuk menceriakan seseorang dan memberi kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan menganggap kita gembira. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi serta menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri. Dikatakan bahawa apabila seseorang tersenyum, hanya 17 otot muka digunakan manakala 43 otot muka digunakan apabila mengerutkan dahi.
Maka, senyumlah! Anda akan melihat seisi dunia akan ikut tersenyum kepada anda… =)
Jangan menunggu datangnya kebahagiaan untuk dapat tersenyum, tapi tersenyumlah agar anda berbahagia (Dr. 'Aidh Al-Qarni).
No comments:
Post a Comment