Popular Posts

Tuesday, December 11, 2012

Andai Esok Ajalku



Andai esok ajalku
Aku tidak pasti adakah amalku sudah cukup
Untuk aku menempah tiket ke syurga
Atau adakah amalku mampu menyelamatkan diriku
Dari seksaan dahsyatnya api neraka

Andai esok ajalku
Aku tidak pasti adakah aku bersedia
Bagi menjawab persoalan Mungkar dan Nakir
Tentang  umurku, amalku, hartaku
Kemana telah kuhabiskan kesemuanya

Andai esok ajalku
Aku tidak pasti adakah aku mampu
Untuk ditinggal seorang-seorang di dalam kubur
Rumah sepi yang gelap dan sunyi
Tanpa teman mahupun pendamping setia

Andai esok ajalku
Tidakku sanggup lagi bergelak ketawa hari ini
Tidak akan kusia-siakan setiap detik dan ketika yang ada
Tidak akan kulayan segala yang tidak berkepentingan untuk akhiratku
Tidak akan kupandang pada keindahan dan kenikmatan pada dunia lagi

Andai esok ajalku
Aku akan berlumba-lumba untuk membuat amal kebajikan
Kerana aku tidak tahu antara semua amalku
Yang mana satu akan diterima di sisi-Nya
Yang mana satu bakal menjadi penyelamatku di akhirat nanti

Andai esok ajalku
Akan kuusahakan untuk berbuat sesuatu
Demi kepentingan dan kebaikan ummah
Agar ia bakal menjadi amal jariahku
Ketika aku sudah tiada di dunia ini

Andai esok ajalku
Ingin sekali aku katakan pada insan di sekelilingku
Betapa aku amat menyayangi kalian
Bahawa aku amat ingin mengajak kalian
Berpimpin tangan denganku menuju ke syurga

Andai esok ajalku
Dan andai hari ini aku masih bermain-main
Terlalu leka dan khayal dengan dunia
Ingin sekali aku mempunyai sahabat dan teman sejati
Yang saling mengingatkan tentang ajal yang bakal tiba

Andai esok ajalku
Sama ada diri ini bersedia atau tidak
Yang pasti semua manusia akan menghadapinya
Ajal tidak membilang usia, tidak menghitung tua atau muda
Tidak melihat pada status dan harta

Harta berjuta tidak kan mampu untuk membeli tiket ke syurga
Rupa lawa tidak mampu untuk menempah tempat paling cantik di syurga
Umur muda tiada guna andai masa yang ada selalu disia
Semuanya akan tercatat pada buku catatan Rokib dan ‘Atid nanti


 P/s: Apabila seseorang mati, ada 3 perkara yang akan mengirinya ke kubur, tetapi 2 akan meninggalkannya dan hanya 1 yang tinggal dengan si mati. Dua perkara tersebut ialah keluarga dan harta, satu perkara yang tinggal ialah amalan. Wallahu’alam.



"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhamu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan."
(Al-Kahfi: 46)

10/12/12
11.49 p.m.
Gombak.

No comments:

Post a Comment

Matematik dan Al-Quran

Assalamualaikum. Sebelum ni saya ada kongsikan tentang pecahan dan mengaitkannya dengan al-Quran dalam post Fractions in Daily Life  ....