Setiap daripada kita tidak terlepas melakukan dosa dan maksiat
kepada Allah. Maksiat itu luas pengertiannya. Maksiat bermaksud, “Segala
perbuatan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan yang salah, dosa, melawan,
cuai, menentang atau derhaka kepada Allah S.W.T.. Maksiat termasuk juga maksiat
mata (dengan melihat perkara yang tidak sepatutnya dan haram), maksiat telinga
(mendengar perkara yang sia-sia dan dosa), maksiat anggota (melakukan perbuatan
yang dilarang oleh Allah) dan maksiat hati (lintasan hati atau perasaan yang
mendorong ke arah maksiat).
Kali ini, saya ingin kongsikan kisah dialog antara seorang
wali Allah bernama Ibrahim Adham dengan seorang lelaki. Sebuah kisah yang
mengajar kita bagaimana untuk menghindari perbuatan maksiat.
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang menghadap Ibrahim
bin Adham seraya berkata, “Wahai Abu Ishaq (panggilan Ibrahim bin Adham), aku
ialah orang yang lupa diri. Oleh itu, berilah aku sesuatu yang dapat mencegah
serta menyelamatkan hatiku daripada kecuaian.”
Ibrahim menjawab, Jika kamu mahu menerima lima hal serta
mampu melaksanakannya, nescaya kemaksiatan tidak akan mampu menyerang dirimu
dan kamu tidak mudah untuk dihancurkan oleh kelazatan duniawi.”
Lelaki itu berkata, “Tolong sampaikan hal itu kepadaku,
wahai Abu Ishaq.”
Kemudian Ibrahim berkata:
“PERTAMA: Apabila kamu hendak melakukan kederhakaan kepada
Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia, janganlah kamu memakan rezekinya.”
Pemuda itu kemudian bertanya lagi, “Lalu dari mana aku
makan, bukankah semua yang ada di bumi ini adalah rezeki pemberian-Nya.”
Ibrahim menjelaskan, “Begini, wajarkah kamu memakan
rezeki-Nya, sedangkan kamu masih selalu menderhaka kepada-Nya?”
Lelaki itu berkata, “Sekarang tolong beritahukan yang (hal)
kedua.”
Lalu Ibrahim pun berkata:
KEDUA: Apabila kamu hendak berlaku derhaka kepada-Nya, jangan
sampai kamu menginjak bumi-Nya.”
Ujar lelaki itu, “Perkara ini mungkin lebih berat daripada
perkara pertama. Segala sesuatu yang ada, bermula dari belahan timur sampai
barat adalah sesuatu milik-Nya, lalu di mana aku akan tinggal?”
Ibrahim berkata, “Begini, wajarkan engkau memakan rezeki-Nya
dan tinggal di wilayah-Nya, sedang kamu masih menderhakai-Nya?”
Lantas melaki itu menjawab, “Tidak, sekarang tolong sebutkan
yang ketiga!
Ibrahim berkata lagi:
KETIGA: Jika kamu hendak melakukan esuatu kemaksiatan,
sedangkan kamu masih berada dalam rezeki dan wilayah-Nya, sekarang cubalah cari
suatu tempat yang mustahil diketahui oleh-Nya, kemudian di tempat itu kamu
dapat bebas berbuat maksiat.”
Lelaki itu semakin bingung dan kemudian berkata, “Wahai
Ibrahim! Bagaimana hal ini dapatku lakukan. Dia selalu mengetahui apa saja yang
dirahsiakan?”
Ibrahim meneruskan hujahnya, “Wajarkah kamu memakan
rezeki-Nya dan berada di wilayah-Nya, sedangkan kamu masih derhaka kepada-Nya
dan Dia selalu mengawasi segala gerak-gerimu?”
Pemuda itu segera menjawab, “Tidak, sekarang cuba sebutkan
yang keempat!
Ibrahim berkata:
KEEMPAT: Apabila malaikat pencabut nyawa datang hendak
mengambil nyawamu, cubalah minta kepadanya agar diberi tempoh hingga dapat
bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya serta beramal soleh kerana Allah.”
Jawab lelaki itu, “Mustahil dia mahu menerima permohonan
itu.”
Tanya Ibrahim, “Kamu tidak mungkin mampu menolak kematian
hingga kamu dapat bertaubat dan di sini kamu dapat mengetahui bahawa malaikat
pencabut nyawa mustahil memberi tempoh kepadamu, lalu bagaimana mungkin kamu
akan mendapatkan sebuah jalan untuk menyelamatkan diri?”
Lelaki itu seterusnya berkata, “Sekarang cuba tolong
sebutkan yang kelima.”
Ibrahim berkata:
KELIMA: Jika pada hari kiamat nanti, malaikat Zabaniyah
datang kepadamu untuk membawamu ke neraka, usahakan untuk menolaknya.”
Jawab lelaki itu, “Mereka tidak mungkin bersedia
meninggalkanku begitu saja, walaupun aku kemukakan pelbagai alasan.”
Ibrahim bertanya lagi, “Jika demikian, bagaimana mugkin kamu
akan mengharapkan suatu keselamatan?”
Kata lelaki itu, “Whai Ibrahim! Cukup… cukup! Sekarang aku
akan memohon ampun dan taubat kepada-Nya.”
Selepas peristiwa itu, lelaki itu tekun beribadat hingga ke
akhir hayatnya.
P/s: Semoga kisah ini dapat dijadikan tips dan peringatan
buat diri kita agar dapat menghindari daripada melakukan maksiat kepada Allah
S.W.T..
No comments:
Post a Comment