Hidup dan mati. Begitulah gambaran yang diungkapkan oleh
Rasulullah SAW bagi menggembarkan orang yang berzikir dan yang tidak. Apakah dimensi,
fungsi, serta kedudukan zikir sehingga orang yang melakukannya diibaratkan
seperti yang hidup manakala yang tidak melakukannya digelar sebagai mati?
Fungsi dan kedudukan zikir bagi hati setara dengan fungsi
makanan bagi tubuh. Seseorang yang tidak memenuhi keperluan ruang hati dan
rohnya dengan zikir, samalah umpama tubuh yang tidak diberi bekalan makanan
sebagai sumber kekuatan. Tubuh yang tidak memperolehi makanan akan menjadi
lemah, tidak berdaya dan mudah diserang penyakit. Apabila keadaan ini
berterusan, ia akan menyebabkan kebuluran dan padahnya adalah membawa maut. Demikian juga dengan hati yang kosong dari zikrullah. Zikir ialah makanan
bagi hati. Semakin hari hati semakin lemah apabila makan tidak diperolehi. Ia akan
mudah terumbang-ambing, goya dan resah. Hati menjadi mudah dikuasai hawa nafsu yang dkendalikan syaitan disebabkan tiada daya ketahanan. Akhirnya apabila
keadaan ini berterusan, hati juga akan menemui nasib sebagaiamana yang menimpa
tubuh iaitu mati.
Hati yang mati adalah hati yang tidak dapat menjalankan
apa-apa fungsi. Manusia yang memiliki hati yang sakit atau mati, adalah manusia
yang hidup tanpa nilai, tanpa pengemudi. Neraca penentuan sikapnya hanya
ditentukan oleh kehendak hawa nafsu. Keadaan meeka ini lebih dahsyat jika
dibandingkan dengan orang yang mati fizikalnya. Manusia yang mati secara
fizikal tidak membawa kemudharatan kepada manusia di sekelilingnya tetapi
manusia yang mati hatinya akan merugikan malah memudharatkan orang lain. Orang yang
mati hatinya akan bertindak dalam konteks memenuhi kehendak hawa nafsu serta
kesenangan peribadi. Ini sudah tentu menjerumuskan diri sendiri ke lembah
kehancuran serta menyeret sama manusia lain. Buktinya hari ini jika dilihat
pada dada-dada akhbar, perbuatan jenayah dan kekejaman semakin berleluasa dari
hari ke hari, akibat terlalu mengikut hawa nafsu sendiri.
Zikir sebagai ubat
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah pernah menyatakan,
“Zikrullah bagi hati, seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan bila keluar
dari air?” Manakala Imam Hasan al-Basri, ulama terkemuka pada zaman tabi’in
juga pernah menjawab keluhan seorang pemuda tentang kekesatan hatinya. Beliau mengatakan,
“Ubati hatimu dengan zikir.”
Hati yang rutin diisi dengan zikir kepada Allah akan menjadi
kuat, teguh, istiqamah serta mampu mematahkan serangan dan pengaruh hawa nafsu yang
dikendalikan oleh syaitan. Malah yang lebih penting, hati ini akan dekat kepada
Allah, terhindar dari rasa keluh-kesah dan gelisah. Hati dan wajahnya pula
memancarkan sinar, selalu optimis, sukacita dan gembira. Zikrullah (mengingati
Allah) bukan sekadar kita mengingati Allah malah secara timbal balik akan
menjadikan Allah ingat kepada orang yang melakukannya. Sebagaimana firman Allah
SWT yang bermaksud,
“Berzikirlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu.”
(Al-Baqarah: 152)
Paling utama
Zikrullah banyak ragamnya. Boleh dilakukan dengan menyebut
asma’ Allah (nama-nama Allah), sifat dan memuji Allah seperti ucapan
subhanallah, Alhamdulillah, la ilaha illallah, dan lain-lain zikir seperti yang
diajar oleh Rasulullah SAW. Selan zikir-zikir tersebut, zikir yang paling utama
ialah tilawatul Qur’an. Al-Qur’an merupakan sumber penawar dan ubat pelbagai
penyakit hati. Ini bertepatan dengan janji Allah SWT seperti firman-Nya,
“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran
dari tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan
petunjuk serta rahmat bagi orag-orang yang beriman.”
(Yunus: 57)
“Dan Kami turunkan dari al-Qur’an suatu yang menjadi penawar
dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al-Qur’an itu tidaklah menambah
kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
(Al-Isra’: 82)
Penawar
Al-Qur’an merupakan penawar dan penjelas – penawar atau ubat
bagi penyakit syahwat, dan penjelas bagi yang haq dan batil. Di samping itu, ia
juga dapat membentuk kebersihan hati dan kejernihan persepsi. Dengan hati yang
bersih dan pandangan yang lurus, hidup seseorang menjadi tenang dan istiqamah.
“Ketahuilah, bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi
tenang.”
(Ar-Ra’du: 28)
No comments:
Post a Comment