Popular Posts

Friday, June 29, 2012

Ikhlas

Orang yang ikhlas tiak mengharapkan penghargaan orang untuk setiap perbuatannya.
Orang yang ikhlas tidak berbangga atas pujian yang diterima.
Orang yang ikhlas tidak peduli dengan pandangan orang lain terhadap dirinya.
Orang yang ikhlas redha apabila ditimpa sesuatu musibah.
Orang yang ikhlas tidak kecewa apabila usahanya belum dapat membuahkan hasil.
Orang yang ikhlas tidak bersedih apabila dirinya dikeji.

… kerana dalam fikirannya cuma satu – dia berbuat sesuatu kerana ALLAH.

Ya, orang yang ikhlas melakukan sesuatu semata-mata hanya kerana Allah.



Ikhlas – berasal daripada perkataan kholaso yang bermaksud licin, habis, sedikit pun tidak tertinggal. Dalam erti kata lain ia membawa maksud tiada apa yang diharapkan melainkan tujuannya semata-mata kerana Allah.

Ibnul Qayyim mendefinisikan, “Ikhlas adalah menjadikan Allah SWT sebagai matlamat dalam melakukan ketaatan, iaitu anda memiliki matlamat hanya pada Dia sahaja, bukan kepada selain-Nya.”

Jika dia seorang pelajar, dia menuntut ilmu kerana Allah, bukan semata-mata kerana hendak lulus periksa. Jika dia diuji dengan kegagalan sewaktu belajar, dia redha.  Malah, dia menggiatkan lagi usaha untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Kerana dengan ilmu yang dimiliki, dia akan lebih mengenal Pencipta dan berbakti kepada ciptaan Pencipta untuk menggapai redha-Nya.

Jika dia seorang pekerja, dia bekerja demi mencari rezeki halal bagi mencukupkan keperluan keluarganya. Dia bekerja bersungguh-sungguh kerana percaya bahawa setiap jam, minit dan saat yang dihabiskan di tempat kerjanya kelak akan dihitung oleh Allah. Tiada istilah curi tulang dalam bekerja kerana baginya setiap jam, minit dan saat itu juga akan menentukan keberkatan gaji yang bakal diperoleh untuk keluarganya. Dia tidak kisah jika belum dinaikkan pangkat dan dia tetap memberikan khidmat yang terbaik kepada organisasi. Dia hanya mengharapkan keredhaan Allah.  Dia bekerja kerana Allah.

Jika dia seorang anak. Dia berbakti kepada ibu bapanya sebaik yang mungkin. Dia cuba untuk menjadi anak yang terbaik dan taat perintah ibu bapanya, selagi tidak bertentangan dengan syariat. Jasa dan kasih ibu bapa amat besar baginya, namun kasih Allah itu lebih besar mengatasi kasih yang lain. Baginya, tiada keredhaan Allah tanpa keredhaan ibu bapa. Segala amalan dan bakti buat keluarga dia niatkan kerana Allah. Biar Allah redha, biar Allah sayang.

Jika dia ialah ibu atau bapa. Dia berusaha untuk membesarkan anak-anaknya dengan sebaik mungkin, mencukupkan keperluan asas, agama, pendidikan dan sebagainya. Dia melengkapkan anak-anaknya dengan ilmu duniawi dan ukhrawi supaya si anak dapat lebih mengenal Tuhannya. Apabila hati sudah kenal erti bertuhan, maka rasa cinta pada Tuhan akan muncul dengan sendirinya. Dia mengharapkan agar dapat membimbing dan mendidik anak dan ahli keluarga dengan cara yang diredhai Allah. Agar wujudlah keluarga yang diredhai dan diberkati – sakinah, mawaddah dan rahmah. Dia melakukannya kerana Allah semata.

Jika dia seorang insan biasa. Dia tetap akan berusaha dengan bersungguh-sungguh walau dalam apa jua bidang yang diceburi. Dia percaya bahawa Allah tidak akan mengubah nasibnya selagi mana dia tidak berusaha untuk mengubah nasibnya sendiri. Dia yakin bahawa dunia ini hanyalah persinggahan sementara – tempat untuk berbuat baik dan mengumpulkan bekalan untuk dibawa ke alam kekal abadi. Biarpun dia dikhianati dan dizalimi di dunia, dia yakin nasibnya akan terbela di akhirat sana. Dia tidak kesal dan kecewa atas segala ujian yang datang, kerana dia tahu yang Dia punya Allah, Pencipta segala. Seorang insan sudah pasti akan bersedih jika sesuatu yang dihajati tidak kesampaian, tapi dia masih menyimpan harapan bahawa jika sesuatu itu belum dapat diperoleh di dunia, dia pasti akan memilikinya di akhirat kelak, persinggahan yang kekal abadi. Dia percaya bahawa kebahagiaan bukan terletak pada material, tetapi pada hati dan iman. Dia ikhlas menjalani kehidupannya kerana Allah.



Antara tanda-tanda orang yang ikhlas, dia menerima pujian atau kejian dengan perasaan yang sama sahaja – tidak berbangga apabila dipuji dan tidak kecewa apabila dikeji.

Pesanan Imam al-Ghazali: "Manusia semuanya mati, kecuali yang masih hidup iaitu orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tidur, kecuali yang berjaga iaitu orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya iaitu hanya orang yang ikhlas. Tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada dalam keadaan yang amat sukar ibarat telur di hujung tanduk."

P/s: Peringatan buat diri yang sering lupa…

No comments:

Post a Comment

Matematik dan Al-Quran

Assalamualaikum. Sebelum ni saya ada kongsikan tentang pecahan dan mengaitkannya dengan al-Quran dalam post Fractions in Daily Life  ....