Popular Posts

Saturday, July 28, 2012

30 Hari Mencari Cinta

Cinta. Jika sebut soal cinta, kebanyakannya akan membayangkan tentang cinta antara manusia – cinta ibu bapa kepada anak, cinta suami kepada isteri, dan sebagainya.Manusia berlumba-lumba untuk mengejar cinta manusia, berbuat sehabis daya dan berusaha sehabis cara untuk memenangi cinta mereka. Tapi, kadang-kadang kita lupa bahawa dalam mengejar cinta manusia, kita seakan melupakan cinta yang lebih agung – cinta yang mengatasi segala cinta yang ada di dunia ini.

Jika kita mencintai seseorang, pasti kita akan lakukan sesuatu untuk membuktikan cinta kita kepadanya. Begitu juga jika kita mencintai Allah. Cinta tidak dapat bertahan hanya dengan kata-kata 'I love you'. Cinta yang sebenar perlu disulam antara kata dan perbuatan. Jadi, di kesempatan Ramadhan ini, marilah kita cuba mencari cinta Dia itu dengan mengerjakan amalan yang disukai-Nya. Ya, inilah masanya.

Segala ganjaran sudah tersedia untuk kita, hanya menanti untuk dilunasi sahaja. Dia  tidak akan terjejas dengan sedikitnya amalan kita dalam menzahirkan cinta kita pada-Nya, tetapi kitalah yang akan rugi kelak. Ramadhan ialah permulaan yang baik untuk memulakan sesuatu yang baik, kerana ketika ini syaitan dibelenggu, dan yang tinggal hanyalah pertempuran antara diri dan nafsu sendiri. Dengan latihan dan amalan yang konsisten, insyaAllah tempoh 30 hari cukup untuk mendidik nafsu agar patuh pada suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.



Antara tips untuk mencari cinta Dia ialah:
  • Melakukan perbuatan atau amalan yang belum pernah ataupun jarang sekali kita lakukan sebelum ini. Contohnya seperti qiyamullail, solat sunat - dhuha, taubat, istikharah dan hajat.
  • Membiasakan diri membaca ayat suci al-Quran, mentadabbur maknanya serta berusaha untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan.
  • Banyakkan bersedekah. Rasulullah SAW ialah manusia yang paling dermawan dan lebih dermawan pada bulan Ramadhan, seperti angin yang bertiup. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”  (HR at-Tirmidzi)
  • Berbahagi kasih sayang sesama manusia (yang halal jer ye). Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”

Setelah kita melakukan semua perkara di atas, bagaimana pula untuk kita tahu sama Ramadhan yang telah dilalui memberi kesan pada jiwa kita? Caranya ialah, jika amalan yang kita lakukan semasa Ramadhan itu masih lagi berterusan dalam bulan-bulan seterusnya dan menjadi rutin, maka itu tandanya Ramadhan telah terkesan pada jiwa. Contohnya, amalan sunat dhuha kita berterusan walaupu setelah berakhirnya Ramadhan. Selain itu, tanda yang lain ialah seseorang itu akan berubah menjadi lebih baik berbanding dengan dirinya sebelum Ramadhan. Jangan berlengah untuk melakukan kebaikan, kerana ajal datang menjemput tidak mengira tua atau muda. Adakah masih ada Ramadhan untuk kita pada tahun depan?

P/s: Sangat terkesan dengan tazkirah pagi tadi. Jom mencari cinta! =)


No comments:

Post a Comment

Matematik dan Al-Quran

Assalamualaikum. Sebelum ni saya ada kongsikan tentang pecahan dan mengaitkannya dengan al-Quran dalam post Fractions in Daily Life  ....