Apa khabar iman? Moga-moga iman kita masih sihat, insyaAllah. Saya tertarik untuk berkongsi satu analogi yang saya temui dalam sebuah buku. Jom kita lihat!
“Ikan di laut tidak masin, walaupun air laut di sekelilingnya masin. Tapi apabila ikan yang sama dinaikkan ke laut, disiang dan dibersihkan, secubit garam pun sudah mampu untuk memasinkannya.”
Hmm, ada sesuatu yang tersirat di sebalik analogi tersebut.
Apa bezanya ikan di laut dan ikan di darat ya?
Ikan di laut masih hidup. Ikan di darat telah mati. Begitulah kita kalau hati kita hidup, kita tidak akan dipengaruhi. Tapi bila hati kita mati, kita mudah dipengaruhi…
Bagaimana hati boleh hidup? Bagaimana pula hati boleh mati?
Antara faktor matinya hati itu kerana 3 perkara:
- Cintakan dunia.
- Lalai daripada zikrullah.
- Banyak makan dan mendekatkan diri dengan maksiat.
- Zuhud dengan dunia.
- Zikrullah.
- Bersahabat dengan orang-orang soleh.
Hati amat sukar untuk dijaga. Sifat hati itu sendiri – mudah dibolak-balik membuatkan kita kadangkala tidak sedar yang hati kita sedang sakit..
“Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging, jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa daging itu ialah hati.” (HR Bukhari & Muslim).
Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa hati merupakan anggota yang paling penting dalam diri seseorang. Hatilah yang menentukan peribadi seseorang individu. Maka, hati ini mestilah dijaga dengan sebaik-baiknya agar tidak mudah dicemari oleh unsur-unsur negatif. Hal ini kerana setiap perbuatan yang dilakukan akan mempengaruhi kejernihan hati itu sendiri.
Perkara itu digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (HR Ibnu Majah).
Hitamnya hati merupakan petanda akan matinya hati. Nauzubillah... Bagaimana untuk menjaga hati? Di sinilah fungsi iman seseorang. Iman berperanan untuk menjaga hati. Karakter iman pula adalah selalu naik dan turun. Jadi, iman diibaratkan seperti pakaian. Iman perlu sentiasa diperbaharui.
Antara cara untuk memperbaharui/menguatkan iman:
- Menuntut ilmu (+ pengetahuan, + iman).
- Semak tadabbur al-Quran.
- Zikir dan fikir.
- Lakukan ibadah dengan pelbagai cara.
- Mengingati mati.
- Tidak berangan-angan kosong.
- Bermunajat kepada Allah dan pasrah kepada-Nya.
- Tawadhuk (rendah hati).
- Muhasabah diri dan doa.
Pesan Imam Ghazali, “Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”
Ya Muqollibal Qulub, thabbit qulubana ‘ala dinik wa ‘ala to’atik…
(Wahai Pemilik Hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu )…
Nota: Sekadar perkongsian di samping peringatan buat diri sendiri.
No comments:
Post a Comment