Popular Posts

Tuesday, September 28, 2010

Secebis Maaf




Syukur ke hadrat Ilahi kerana perbincangan rumit kami, yang telah dibantu oleh seorang pensyarah akhirnya telah selesai. Namun, bagi saya perbincangan itu tidak seratus peratus selesai kerana saya merasakan bahawa ada sesuatu yang kurang pada akhir sesi tadi. Ibarat memasak kari dan terlupa untuk meletakkan garam. Begitulah rasanya. Tidak sedap dan kurang ‘umph’nya. Dalam perjalanan pulang ke mahalah, saya sempat berborak dengan rakan-rakan sekumpulan yang lain dan saya terkejut apabila mendapati mereka juga mengalami perasaan yang sama seperti saya. Ada satu rencah yang kurang semasa berdiskusi tadi. Oh, rupa-rupanya kami semua mengharapkan ungkapan yang satu itu terbit daripada mulutnya. Suatu ungkapan yang bukan mudah untuk dituturkan oleh seorang lelaki berbangsa Arab sepertinya.

Saya akui ia bukannya mudah kerana sejujurnya sebelum saya menghadapi perbincangan tadi, saya telah pun berjumpa dengan dua orang pensyarah yang lain untuk mengetahui pendapat mereka dan mendapatkan ‘point’ penting yang mungkin boleh membantu kami dalam menghadapi situasi ini. Salah seorang pensyarah berbangsa asing mengakui bahawa masyarakat Melayu merupakan bangsa yang paling merendah diri dan sopan jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain yang pernah beliau temui. Beliau telah menceritakan pengalaman beliau yang pernah menetap di beberapa buah negara selama bertahun-tahun dan mengenali budaya sesuatu masyarakat itu. Dari situ, kami cuba untuk memahami situasi dan konflik yang sedang kami lalui dan mula memikirkan cara yang bagaimana untuk menamatkan konflik ini.

Ungkapan nan satu yang kami harapkan daripadanya hanyalah secebis maaf. Maaf – susahkah untuk mengungkapkannya? Menurut melayuonline.com, maaf bermaksud kerelaan melepaskan atau membebaskan seseorang daripada hukuman atau denda kerana sesuatu kesalahan. Dalam erti kata lain, jika kita meminta maaf kepada seseorang, itu bermakna kita meminta orang tersebut supaya membebaskan kita daripada hukuman atau rasa bersalah yang kita alami. Sebaliknya, jika kita memaafkan seseorang bermaksud kita telah melepaskan orang itu daripada hukuman atau denda kerana sesuatu kesalahan. Namun, saya berpendapat bahawa kedua-duanya – memberi dan meminta maaf memerlukan seseorang itu meruntuhkan tembok egonya terlebih dahulu. Bukannya senang untuk meminta maaf, dan bukan senang juga untuk memberi maaf.

Dipetik daripada sebuah buku yang telah saya baca (Nota Hati Seorang Lelaki) – “Orang yang tidak memaafkan akan sentiasa ‘diikat’ oleh orang yang tidak dimaafkannya. Maafkan, nescaya kau akan terlepas. Kau akan bebas daripada terus mengingatkan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang dikenakannya ke atasmu.. Cuba bayangkan kasih sayang Allah. Kalau seseorang itu berdosa, kemudian bertaubat, kemudian berdosa lagi, bertaubat lagi, namun Allah masih dan terus sudi mengampunkannya setiap kali dia bertaubat. Sebab itu kata Imam al-Ghazali, seorang hamba yang bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sekali-kali putus asa untuk tidak bertaubat lagi. Mana tahu Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bartaubat atau sedang dalam perjalanan menuju satu taubat!”

MasyaAllah, betapa pengasihnya Allah dan betapa egonya saya. Sungguh kecil jika dibandingkan antara kesalahan manusia sesama manusia dengan kesalahan manusia kepada Yang Esa. Apakah lagi alasan saya untuk tidak memaafkannya? Sekalipun dia tidak pernah meminta maaf pada kami sebelum ini. Walaubagaimanapun, dek kerana perundingan secara baik yang salah seorang daripada kami lakukan dengannya, akhirnya dia bersetuju untuk meminta maaf. Ikhlas atau tidak, itu tidak perlu saya adili. Hal ini kerana ikhlas itu sendiri tidak dapat dilihat oleh manusia – umpama seekor semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di malam yang kelam. Biarlah Yang Esa menentukan, kerana hanya Dia yang berhak. Siapalah saya untuk menyimpan sifat “ketuhanan” di dalam diri. Maafkan, agar kita dimaafkan.

No comments:

Post a Comment

Matematik dan Al-Quran

Assalamualaikum. Sebelum ni saya ada kongsikan tentang pecahan dan mengaitkannya dengan al-Quran dalam post Fractions in Daily Life  ....