Popular Posts

Sunday, September 26, 2010

Aktifkan Dirimu!




Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita pinta, kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Jadi, apa perlunya kita berdoa?

Berdoa sebenarnya merupakan tugas pengabdian. Dengan berdoa, kita mengakui kelemahan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di hadapan Allah S.W.T.
Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Ghafir 40: 60)

Justeru, orang yang tidak berdoa boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Jadi, selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, selagi itulah kita akan terus berdoa kepada-Nya.

Doa merupakan cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Doa bermula daripada tidur, masuk tandas, keluar tandas, memakai pakaian, sebelum makan, selepas makan, keluar rumah, menaiki kenderaan, belajar, bersin, menguap sehinggalah tidur semula. Semua itu ada doanya yang khusus.
Mengapa doa penting?

1. Mengekalkan hubungan dengan Allah setiap masa.

Manusia memerlukan Allah melebihi segala keperluan lain. Tanpa Allah dalam hatinya, manusia umpama ikan yang ketiadaan air. Jiwanya akan mati. Manusia akan kehilangan ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian walaupun dia memiliki segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Yakni mereka yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (al-Ra’d 13: 28)

Orang yang sering berdoa tidak akan dilanda stress yang melampau dan kemurungan dalam hidup. Hal ini kerana talian hayatnya sentiasa bersambung dengan Allah, apatah lagi ketika dia memerlukan pertolongan.

2. Keupayaan melakukan perubahan ke arah kebaikan secara berterusan.

Manusia perlu sentiasa berubah daripada kurang baik kepada lebih baik. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dia memperkenankan (doa) orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka daripada kurnia-Nya.” (al-Syura 42: 26)

Doa itu harapan dan kunci untuk menggamit pertolongan Allah untuk melaksanakan perubahan diri yang dimaksudkan. Manakala usaha ialah langkah untuk merealisasikan impian itu.

3. Didampingi oleh malaikat dan menghalau syaitan.

Doa membuatkan malaikat akan sentiasa mendampingi dan memberi input yang baik-baik ke dalam hati kita. Kesannya, manusia yang sentiasa didampingi malaikat akan lebih terkawal kata-kata, pertimbangan, keputusan dan tindakan dalam hidupnya. Oleh sebab itu, berdoalah. InsyaAllah malaikat akan hampir dan syaitan pula akan meminggir!

4. Membentangkan masalah dengan jelas dan tuntas.

Doa ialah langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang masalah. Doa menolong kita menukarkan masalah ke dalam bentuk perkataan. Dengan berdoa, masalah yang asalnya kabur dan samarmenjadi jelas dan terang. Ibarat seperti menulis masalah kita di atas kertas. Dengan berdoa, kita seolah-olah ‘berkata-kata’ dengan Allah.
Justeru, semasa kita memohon, merayu, mengadu dan meluahkan segala-galanya kepada Allah, kata-kata kita semasa itu seperti membentangkan masalah kita ke hadapan-Nya. Ini akan memberikan kelegaan, malah masalah itu sudah menjadi separuh selesai!

5. Melahirkan rasa berkongsi menghadapi sebarang kebuntuan

Firman Allah yang bermaksud: “Jika hamba-Ku bertanyakan kamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku sentiasa mendengar permohonan doa tatkala berdoa kepada-Ku. Oleh sebab itu, wajarlah mereka sahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku, semoga mereka beroleh petunjuk.” (al-Baqarah 2: 186)
Berdoa memberikan kita rasa ‘tidak bersendirian’ dalam menghadapi sebarang kebuntuan hidup. Kata Profesor Dr. Hamka, “Ketika pintu di bumi sudah tertutup segalanya, pintu ke langit sentiasa terbuka!”

6. Mengaktifkan diri untuk berusaha

Doa ialah langkah pertama dan utama ke arah suatu tindakan. Dengan berdoa, kita sebenarnya telah mengaktifkan minda dan jiwa untuk bertindak. Ada saintis yang menyatakan bahawa doa adalah sejenis tenaga yang terhasil dari dalam diri seseorang hasil berhubung dengan Yang Maha Kuasa. Inilah mengapa Allah menyuruh kita berdoa. Kita bukan sahaja mendapat kekuatan daripada Allah, malah akan mendapat kekuatan daripada tenaga dalam diri yang telah dikurniakan oleh Allah secara tabii.

7. Menghindar daripada penyakit fizikal.

William James, pakar perubatan dan psikologi berkata tentang risau: “Tuhan boleh mengampuni segala dosa kita, tetapi sistem urat saraf kita tidak.” Penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, malah lumpuh juga boleh disebabkan oleh kerisauan, ketakutan dan lain-lain penyakit hati (mazmumah).
Doa mampu menyihatkan fizikal kita. Dengan berdoa kita boleh mengubat hati dan fikiran daripada serangan sifat-sifat mazmumah yang juga menjadi punca kepada penyakit fizikal.

Justeru, aktifkan dirimu dengan doa!

Sumber: Solusi 22.

No comments:

Post a Comment

Matematik dan Al-Quran

Assalamualaikum. Sebelum ni saya ada kongsikan tentang pecahan dan mengaitkannya dengan al-Quran dalam post Fractions in Daily Life  ....