Repost – after editing.
Ada yang bertanya.. Awak sokong apa? Ada juga yang mengajak.. Jom masuk "..." …..
Maaf, saya tak minat dengan politik negara (kerajaan mahupun pembangkang). Rasa nak muntah bila dengar orang bercakap pasal politik dalam negara sendiri (maaf ye, politikus).
Saya tahu, politik perlu dalam kehidupan. Politik mengatur sistem kehidupan manusia agar lebih terancang dan bermatlamat. Tanpa politik, kacau bilaulah kehidupan. Tanpa politik, hancurlah institusi rumah tangga. Contohnya, dalam sebuah keluarga perlukan ketua keluarga untuk memimpin dan membuat keputusan penting dalam rumah tangga, manakala isteri dan anak-anak sebagai rakyat perlu patuh kepada ketua keluarga selagi ianya tidak memudaratkan atau melanggar hukum syarak. Begitu juga halnya dengan politik negara.
Politik dari sudut bahasa yang mudah untuk difahami menurut sebahagian ilmuwan adalah melaksanakan sesuatu dengan memastikan kebaikan pada perkara itu. Manakala dari sudut kemasyarakatan bermaksud mengurus secara bijaksana dan pandangan dengan analisis yang tajam terhadap kesan sesuatu tindakan. Ia juga membawa makna sekumpulan hal ehwal urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Politik juga dapat diertikan sebagai satu kegiatan ummah menyokong dan mendokong usaha melaksanakan syariat untuk merealisasikan Islam yang syumul dapat dipraktikkan melalui sebuah institusi yang menjadi penerajunya. (Umat dan Negara dalam Syariat Islam karangan Dr. Abdul Karim Zaidan).
Sebenarnya, saya sering mengelak untuk berbicara mengenai politik. Saya lebih suka menggunakan dasar tidak campur tangan untuk mengelakkan perbalahan dan pertikaman lidah. Bagi saya, lebih baik diam daripada banyak bercakap, menyalahkan itu ini, mengumpat itu ini lalu mencetuskan pergaduhan atau rasa sakit hati dengan orang lain. Tapi, itu tak bermakna saya tak punya pendirian dalam memilih calon. Saya ada cara saya. Tak perlu provoke, promote dan sebagainya. Saya memang tak berminat. Setiap orang punya hak masing-masing untuk mengundi nanti. Bukannya kita nak nak share pun kan kertas undi nanti.
Saya cuma melihat sahabat-sahabat mahupun ahli keluarga sebagai sama atau satu kesemuanya yakni beragama Islam, tak kiralah daripada parti mana sekalipun. Pada saya, jika kita mahu orang lain menghormati kita, kita juga harus belajar untuk menghormati orang lain (geram dengan orang yang masih lagi mempromosi parti mereka walaupun sedar yang saya tak minat dengan politik parti). Saya sedih dengan politik sekarang yang kebanyakannya lebih menjurus untuk kepentingan peribadi dan parti, berbanding kepentingan rakyat dan perjuangan. Politik sekarang bukan macam politik dulu. Sangat-sangat berbeza.
Misalnya, kisah Saidina Umar al-Khattab yang sering keluar meronda pada malam hari secara bersendirian semata-mata ingin mengetahui keadaan sebenar rakyatnya, sehinggalah pada suatu malam dia terdengar perbualan antara seorang anak gadis jujur dan ibunya sebagai penjual susu. Kisah yang lain, ialah bagaimana khalifah Umar Abdul Aziz menyediakan dua batang lilin di rumahnya – satu untuk kegunaan keluarga dan satu lagi untuk kegunaan urusan negara. Betapa Khalifah Umar Abdul Aziz tidak ingin menggunakan wang rakyat hatta lilin yang sebatang. Subhanallah.
Betapa politik dahulu sangat mementingkan dan mengutamakan Allah dalam segala hal. Tanggungjawab dianggap seperti beban atau amanah yang akan dipersoalkan kelak. Tanggungjawab bukanlah untuk dibanggakan, tetapi untuk diperlakukan dengan seadilnya. Ini termasuklah tanggungjawab dalam politik rumahtangga. Politik bermula daripada sekecil-kecil sebuah institusi rumahtangga sehinggalah sebesar-besar institusi negara.
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.
(Al-Hujurat: 10-11)
No comments:
Post a Comment