Popular Posts

Sunday, November 27, 2011

Jatuh Bangun


Kehidupan itu sebuah perjalanan. Perjalanan yang terpaksa ditempuh oleh seorang insan untuk menjadi seorang ‘abd Allah. Sememangnya perjalanan yang dijanjikan tidak mudah, kerana ia perlukan mujahadah. Seorang ‘abd Allah telah dijanjikan dengan ujian dan cubaan bagi perjalanannya itu. jika tidak, masakan Allah ada menyebut di dalam kitab-Nya,

Patutkan manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “kami beriman”; sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Al-Ankabut: 2 )

Jadi, sudah tentu orang beriman tidak akan terlepas daripada dugaan dan cubaan dari Allah untuk menentukan keimanan kita kepada-Nya. Maka, ujian itulah tanda kasih-sayang Allah dan bakal mendekatkan seorang ‘abd kepada Tuhannya, yakni Allah.

Ujian itu ada pelbagai. Ada insan diuji dengan kepayahan dan kesusahan, dan tidak kurang juga insan yang diuji dengan kesenangan dan kemewahan. Kita biasa mendengar tentang kesusahan sebagai ujian dari Allah tetapi bagaimana pula dengan kesenangan? Sebenarnya, ujian kesenangan lebih bahaya daripada ujian kesusahan. Kesusahan biasanya akan membawa insan untuk menghampiri Allah, mengadu kesusahan yang dialaminya kepada Allah dan hanya berharap pada Tuhan yang Satu. Manakala, ujian kesenangan seperti kejayaan, harta benda dan pangkat akan membuatkan insan lebih mudah leka dan hanyut dibuai arus dunia. Seorang insan akan lupa bahawa setiap kejayaan dan nikmat yang diperolehinya itu sebenarnya datang daripada Allah, bukan hanya usaha yang dilakukan semata-mata. Jika imannya kuat, maka dia akan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikecapi dan menggunakan nikmat yang diperoleh itu sesuai dengan statusnya sebagai ‘abd – membantu saudaranya yang dalam kesusahan, menggunakan nikmat pada jalan yang sebaik-baiknya. Jika tidak punya iman yang teguh, maka dengan mudahnya insan tersebut akan menjadi seperti Firaun – mengaku dirinya punya segala, lupa kepada Pemberi nikmat. Na’uzubillah..

Dunia ini sekadar persinggahan sementara. Destinasi kita masih jauh di hujung dunia. Teruskanlah perjalanan kalian. Setiap kali jatuh ketika dalam perjalanan, bangunlah semula. Jangan takut untuk bangkit semula. Usaha yang berterusan untuk bangun setiap kali terjatuh merupakan latihan yang menjadikan seseorang itu lebih kuat daripada sebelumnya, kerana ada pelajaran yang terselit pada setiap jatuh bangun seorang insan.

Ingatlah, Allah tidak menilai pada hasil tetapi Allah menilai pada usaha yang kita lakukan. Ma’a taufiq wan najah!


~  Bola yang melantun paling tinggi ialah bola yang jatuh dari tebing yang paling tinggi  ~

Ayuh, bangkit semula dan teruskan perjalanan kita! =)

Mode: Membebel kat diri sendiri...

2 comments:

  1. sygku Rai.sabar ye Rai. ketenangan tu ade dalam diri kita sendiri. find it.

    ReplyDelete
  2. Lin syg. rindu Lin.. sangat!
    insyaAllah.. doakan yg terbaik.

    ReplyDelete

Matematik dan Al-Quran

Assalamualaikum. Sebelum ni saya ada kongsikan tentang pecahan dan mengaitkannya dengan al-Quran dalam post Fractions in Daily Life  ....