Popular Posts

Saturday, April 2, 2011

Belajar & Mengajar


Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, selesai sudah first round observation untuk Teaching Practicum. Diam tak diam, rupanya tinggal lebih kurang 3 minggu lagi masa yang saya ada untuk berkhidmat di sekolah. Itu bermakna, second round observation boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dalam tempoh yang terdekat.

Saya masih lagi belajar untuk menjadi seorang pengajar/guru. Belajar untuk mengajar dan mendidik. Ia bukan suatu proses yang mudah. Seorang guru memerlukan masa berbelas tahun untuk dinaikkan pangkat menjadi guru cemerlang. Semuanya bermula dengan pengalaman. Belajar daripada pengalaman sendiri lebih bermakna dan berkesan kepada diri seseorang. Sebab itu, pengalaman dan kesusahan itu sangat penting dan perlu dirasai oleh setiap individu sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi. Pengalaman itulah guru terbaik.

Benarlah kata salah seorang pensyarah saya: mengajar ialah suatu seni - seni untuk mendidik, seni untuk membuatkan pelajar faham tentang apa yang ingin disampaikan, seni yang menarik pelajar untuk belajar serta menyukai gurunya, seni yang membuatkan pelajar sayang subjek yang dipelajari dan sebagainya. Kesemua seni ini memerlukan masa untuk dipelajari. Semakin lama masa yang diambil, semakin banyak pengalaman dan nilai yang dikutip. Apa yang penting ialah kesediaan kita untuk belajar daripada kesilapan yang lalu supaya kesalahan yang sama tidak berulang lagi pada masa akan datang di samping berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam setiap tindakan.

Saya tidak pasti sama ada akan menjadi guru ataupun tidak pada masa akan datang. Jika tidak menjadi guru sekalipun, sekurang-kurangnya pengalaman berharga yang sempat diperoleh sepanjang menjadi guru praktikal dapat dijadikan iktibar dan kenangan pada masa akan datang. Peluang ini hanya datang sekali seumur hidup. Alhamdulillah.

P/s: Masih lagi berfikir dan mencari cara untuk mengatasi beberapa masalah di dalam kelas. Susah jugak untuk orang dewasa memahami psikologi kanak-kanak. Banyak perkara perlu dibereskan sehinggakan belum pun sempat untuk habiskan membaca buku tentang kanak-kanak – Five Love Languages of Children.

No comments:

Post a Comment

Matematik dan Al-Quran

Assalamualaikum. Sebelum ni saya ada kongsikan tentang pecahan dan mengaitkannya dengan al-Quran dalam post Fractions in Daily Life  ....