Hari kedua di rumah. Barang-barang dan buku-buku masih belum punya tempat lagi untuk disimpan. Masih mencari ruang untuk meletakkan kesemua barang-barang yang baru tiba dari Kuantan. Dengan keadaan rumah yang masih lagi dalam ‘mode’ berjaga-jaga untuk banjir sebelum ini, nampaknya lebih tenaga perlu dikerah untuk mengemas. Oh, banyaknya kerja!
Selamat tinggal dah pun diucapkan pada Kuantan. Agak penat pada hari-hari terakhir di Kuantan kerana menyiapkan dokumen yang perlu sebelum keluar dari UIA serta menguruskan barang-barang untuk pulang. Jadi, apa pula pelan seterusnya? Setakat ini, perlu menguruskan rumah terlebih dahulu dan mengemaskan barang-barang sebelum mula mencari kerja sementara. Dalam masa yang sama, boleh juga jenguk-jenguk kalau-kalau ada tawaran lain di internet, sebagai alternatif kepada pelan utama.
Hmmm, agak gemuruh bila memikirkan masa depan. Hanya mampu berusaha dan berserah segala ketentuan pada-Nya. Apapun, perjalanan hidup mesti diteruskan. Pelan A, Pelan B perlu disediakan. Kata pensyarah saya, Dr. Mohyani, dalam hidup ni jangan pandang jauh ke depan atau melihat ke belakang, tetapi pandanglah sesuatu itu dari atas agar nampak dengan jelas keseluruhan kawasan yang dipandang – depan, belakang, kiri dan kanan. Apabila nampak jelas kedudukan kita, maka mudahlah untuk kita menetapkan matlamat dan objektif dalam hidup. Wallahua’lam.
(Al-Insyirah: 6-8)