Setelah bertanya khabar dan ‘berbasa-basi’, aku
menunggu butir-butir mutiara kata yang keluar daripada mulutnya (macam nak
menadah berlian). Seperti biasa, dengan gaya bersahaja dan rendah hati dia
bersuara menanyakan aku jika ada apa-apa nasihat yang ingin kuberikan padanya.
Aku tersenyum senang. Aku katakan padanya, “Terbalik kot. Saya yang patut
tanyakan soalan tu..” Dia membalas, “Agama tu nasihat. Kita saling berpesan-pesan.
Kalau ada yang lupa, ada yang ingatkan..” Aku hanya mengangguk-angguk. Aku menunggu
bait kata-katanya yang seterusnya. “Betoi dak?” Aku angguk lagi. Melihat pada
aku yang mengangguk sedari tadi, dia bertanya lagi, “Betoi dak?” Aku
cepat-cepat membalas, “Betul3x!” Mendengarkan jawapan aku yang tak ubah seperti
Upin Ipin, dia lantas menegurku. Katanya, dia bukan mahu mendengar jawapan ‘betul’
aku, tapi dia cuma sengaja mahu sedarkan aku supaya aku tak lena. “Aik, tak
lena pun..” Aku pantas menjawab. Dan dia menambah, “Bukan lena tidur, tapi ‘lena
hati’”. Oh.. Alamak, terasa di hati! Ah, manusia memang mudah lupa! Dan aku
salah seorang daripadanya. Astaghfirullah…
Kemudian, dia membacakan sebaris ayat yang amat
kukenal dan kuhafal, cuma jarang kuhayati sebenar-benar akan maksudnya.
“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat
zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”
(Al-Zalzalah: 7)
Dia menjelaskan lagi dengan panjang lebar maksud
ayat tersebut. Sangat dia menghayati maksud ayat tadi. Secara ringkasnya, apa
yang kuingin kongsikan ialah - buatlah sesuatu walaupun ia dilihat kecil pada
pandangan mata kita. Mana tahu, jika amalan kita yang sedikit tapi berterusan
itu mampu menjadi penyelamat kita sewaktu pahala dan dosa kita ditimbang di
neraca Allah kelak. Subhanallah! Nilai yang kecil itu pasti akan dilihat
berganda-ganda besar jika ia dapat melebihkan timbangan pahala kita, yang mana
waktu itu tiada siapa lagi yang dapat membantu kita melainkan diri sendiri…
(T_T)
Katanya lagi, jika berkesempatan untuk menolong
kontraktor yang sedang membina masjid, buatlah – walaupun hanya meletakkan satu
bata sebagai dinding masjid – kerana ia bakal menjadi amal jariah kita buat
bekalan di sana kelak. Allahuakbar! Betapa pemurahnya Allah yang memberikan
segala nikmat -kaki, tangan, mulut, telinga, rezeki, pertolongan, serta
memberikan ganjaran pahala untuk kita.. kerana saya pasti, Allah mahu kita
(manusia) kembali ke tempat asal kita (syurga) yang kekal abadi, tempat di mana
Adam dan Hawa dijadikan dulu, sebelum mereka diturunkan ke bumi dek kerana
hasutan iblis laknatullah. Dan jihad yang paling besar ialah jihad melawan
nafsu sendiri. Ya Allah, bantulah kami…
Daripada
Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk
Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk
umat lslam seluruhnya.
(HR Muslim)
P/s:
Teringat usrahku ketika di Kuantan. Kami membahasakan ayat al-Quran sebagai 'ayat cinta', dan al-Quran sebagai 'surat cinta'. Betapa indahnya kalam Allah yang
terukir di dalam al-Quran, bahkan bisa menjadi penyembuh dan penawar bagi
pelbagai penyakit. Ubat di kala susah dan senang. Jika susah, ia bisa menenangkan. Jika senang, ia bisa mengingatkan agar tidak leka. Allah.....
No comments:
Post a Comment