Cuba kita lihat pada mesin hayat, apa yang terpapar pada skrin? Bagaimana kita tahu sama ada seseorang itu hidup atau mati daripada mesin hayat? Ya, garisan turun naik berselang-seli itu tandanya seseorang masih hidup sementara garisan mendatar bermaksud bahawa seseorang itu telah mati. Itulah ibaratnya kehidupan - ada naik turun dan pasang surutnya, suka duka bersilih-ganti. Manakala garisan mendatar itu menunjukkan bahawa telah tamat turun naik ujian seseorang, telah tamat masanya untuk mengumpul pahala/ bekalan semasa di dunia.
Kenapa saya katakan bahawa mati itu petanda telah tamat tempoh untuk mengumpul bekalan? Kerana selagi kita hidup ujian pasti akan bersilih ganti. Ujian itulah ladang untuk kita mengumpul bekalan pahala melalui respon kita terhadap ujian tersebut. Apabila mendapat nikmat bersyukur, apabila mendapat musibah bersabar. Lalu bagaimana pula jika menerima ujian dengan memaki hamun? Maka sakit dan perit ujian itu sia-sia, malahan bisa menambah dosa yang ada.
"Tidak ada seorang muslim pun yang ditimpa musibah, kesedihan, atau kelelahan, kecuali dengan itu Allah akan menghapus dosa-dosanya." (HR Ahmad)
Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." (Riwayat Muslim)
Nah, nikmat dan musibah kedua-duanya baik bagi seorang mukmin! Kerana walaupun kadang kita merasa sakit atau benci akan sesuatu yang terjadi, sebenarnya itulah hal yang terbaik untuk kita. Buruk pada pandangan kita tapi baik pada pandangan Allah, kerana apa-apa yang berlaku pada kita itulah hal terbaik yang Allah tetapkan untuk kita. Allah mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui. :)
Harta, keluarga, pangkat, ilmu, rupa paras semuanya ujian dari Allah untuk kita pada kurang atau lebihnya sesuatu. Kita semua sedang diuji. Dan Allah juga berjanji bahawa seseorang itu tidak akan diuji melainkan sesuai dengan kemampuannya menghadapi. Allah tahu kemampuan kita, justeru mengapa kita ragu untuk menghadapinya?
Jika merasa bahagia, bersyukurlah kepada Pemberi nikmat. Jangan terlalu memuja nikmat sehingga terlupa kepada Pemberi nikmat. Jika merasa susah, bersabar dan berdoa meminta pada Yang Punya Segala. Lihatlah kepada yang lebih susah supaya kita tahu bersyukur.
Jika kita merungut tentang kasut yang koyak tidak berganti, lihatlah kepada orang yang tak punya kaki. Jika kita marah kepada pasangan yang menyakitkan hati, lihatlah kepada orang yang hingga masih belum punya pasangan hingga kini. Jika kita tidak senang dengan ahli keluarga yang pelbagai ragam dan gaya, lihatlah kepada si yatim piatu yang kematian seluruh ahli keluarganya. Jika kita mengeluh tentang rumah yang kecil, lihatlah kepada orang yang tidur di kaki lima tidak berkatil.
Belajarlah untuk bersabar. Belajarlah untuk bersyukur. Kerana sabar dan syukur itu pasti tidak sia-sia di sisi Allah. :')