Assalamualaikum w.b.t…
Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat dan kesempatan yang
diberikan-Nya untuk menikmati kehidupan ini. Alhamdulillah, kerana dengan
rahmat dan kasih sayang Allah telah menyembuhkan saya daripada sakit yang
datang bersilih-ganti. Terima kasih Allah, kerana dengan sakit yang diberikan,
saya belajar untuk lebih menghargai nikmat kesihatan dan nikmat-nikmat lain
yang tidak habis jika dihitung. Pahit atau manisnya kehidupan, hadapilah dengan
sabar dan redha, kerana semuanya hanya sementara dan akan lenyap pada bila-bila
masa yang ditentukan oleh Allah.
Kata sahabat saya, ada 3 perkara yang Allah sukai jika
hamba-Nya melakukan:
- Syukur
- Redha
- Solat malam (qiyamullail)
Setiap orang punya kebahagiaannya sendiri dan kebahagiaan
itu letaknya di hati. Kebahagiaan bukan ditentukan oleh harta kekayaan, bukan
juga ditentukan oleh pangkat atau darjat seseorang, tetapi ia terletak pada
suatu tempat yang tidak mungkin dapat dirampas oleh orang lain. Kebahagiaan
seorang mukmin terletak pada iman di hatinya.
Menurut Dr. ‘Aidh al-Qarni, ada banyak perkara selain harta
yang membuat kehidupan manusia menjadi bahagia iaitu hidup cukup dalam batas
kewajaran. Antaranya ialah:
- Berhubungan dengan Allah, percaya kepada-Nya dan merasa tenang dengan pemeliharaan dan keredhaan Allah.
- Kesihatan, ketenangan, kerelaan, keberkatan, ketenteraman rumahtangga, kecintaan hati dan lain-lain.
- Kegembiraan dan kesenangan kerana beramal soleh, pengaruhnya dan bekas-bekasnya dalam kehidupan dan di dalam hati.
P/s: Saya belajar untuk lebih menghargai kehidupan. Mahalnya
kehidupan dunia, kerana ia mampu membeli kehidupan di akhirat yang lebih kekal
abadi. Perlu memanfaatkannya sebaik yang mungkin, insyaAllah.