Erti persahabatan tak pernah lupus dalam jiwaku, meskipun
nilai - nilainya pudar dibawa arus masa.
Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri
sendiri…tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang
sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan
kejujuran seorang sahabat, begitu juga dia.
Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil
kira tentang harapan dan perasaan kita.
Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita
tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu
alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri. Kita terlupa, kita juga
pernah membiarkan dia ternanti-nanti...kerana kita juga ada janji yang tidak
ditepati. Kita beri beribu alasan, 'memaksa’ dia menerima alasan kita. Waktu
itu, terfikirkah kita tentang perasaannya? Seperti, dia juga tahu rasa
kecewa…tetapi kita sering terlupa.
Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita
pada waktu kita memerlukan dia. Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa
kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan
sebagai laluan penyelesaian masalah.
Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita
hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi
bersama kita. Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang
rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia
pernah menyabarkan kita?
Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita
gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup
semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita
yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk
bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk
dia sandarkan harapan?
Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya
bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kita, kerana
dia juga seorang manusia, dia juga ada rasa takut, ada rasa...bimbang, sedih
dan kecewa.
Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai
kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi
mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya
itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan, di sebalik
ketenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan…kita tidak tahu…tetapi jika
kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.
Jika anda bersahabat, bersiaplah untuk berkorban demi
sahabat anda. Jika anda bermusuhan dengan sahabat anda, bersiaplah untuk
mengalah demi persahabatan kalian.
Rasa hormat tidak selalu membawa kepada persahabatan, tetapi
persahabatan tidak akan ada tanpa rasa hormat. Ini merupakan salah satu hal yg
membuatkan sesuatu persahabatan itu lebih berharga daripada cinta.
P/s: Ini bukan artikel saya. Terjumpa.. dan sekadar berkongsi (^_^)